Status kesihatan Jahidah tidak berubah

Status kesihatan Jahidah tidak berubah

JAHIDAH Nordin di sisi bayi lelakinya, J Eshan Nufail sebelum dimasukkan ke hospital akhir bulan Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Status kesihatan wanita mangsa keganasan rumah tangga yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 43, tidak menunjukkan perubahan positif sejak dimasukkan ke hospital dua minggu lalu. 

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, kakaknya masih dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan tidak dibenarkan keluar kerana demam dialaminya berlarutan. 

“Kakak tidak boleh keluar hospital sebab demam belum baik. Demam itu berpunca daripada jangkitan kuman akibat pembedahan melahirkan bayi sebelum ini.

“Pelbagai imbasan dan pemeriksaan telah dibuat tetapi belum tahu punca kuman itu dan lebih teruk naik bedsore (kudis) baharu di belakang badan dan kaki kakak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Fauziah turut melahirkan kerisauan memikirkan tahap kesihatan dan bedsore kakaknya akibat terbaring terlalu lama tanpa penjagaan keluarga.

“Semasa di bawah jagaan saya di rumah, bedsores sebelum ini sudah baik, sekarang jadi balik.

“Pihak hospital masih tidak benarkan ahli keluarga menjaga kakak Jahidah dalam tempoh pandemik Covid-19 dan ada kalanya saya datang melawat untuk melihat perkembangannya,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jahidah dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas tahap kesihatannya dilaporkan tidak stabil akibat demam, muntah dan nafasnya turun naik.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, permata hati Jahidah iaitu bayi lelakinya, J Eshan Nufail yang menginjak usia dua bulan seolah-olah mengerti keadaan ibunya yang sakit.

“Nufail bayi yang baik senang sangat hendak jaga, dia pandai bawa diri dan semakin bijak sekarang sudah pandai gelak dan ajak berborak,” katanya yang menjaga bayi itu sejak dilahirkan.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, J Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. 

Jahidah pada mulanya dimasukkan je Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital. 

Sebelum ini pada 17 Jun 2021, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN