Solat berjemaah 40 hari, Masjid Nur As-Sa’aadah tawar hadiah motosikal

Istiqamah Subuh, Isyak 40 hari, Masjid Nur As-Sa’aadah tawar hadiah motosikal

SETIAUSAHA Kerja Masjid Nur As-Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu, Melaka, Mahmood Hassan memasang kad keterangan peraduan pada motosikal Modenas Kriss 110 di bawah Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masjid Nur As-Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu di sini meneruskan usaha mengimarahkan masjid dengan menawarkan empat buah motosikal kepada jemaah yang bertuah.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Pengerusi Masjid, Datuk Amzah Osman berkata, hadiah berjumlah hampir RM16,000 itu akan diberikan kepada mereka yang berjaya menunaikan solat Subuh dan Isyak secara berjemaah selama 40 hari.

“Pemberian ini di bawah Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari yang diadakan khusus untuk jemaah dewasa mengikut empat kategori ditetapkan.

“Kategori tersebut adalah untuk anak kariah, penduduk luar, pegawai syarak serta jawatankuasa dan pekerja masjid,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kira-kira 100 kanak-kanak dan remaja di kawasan Kampung Pengkalan Batu menyahut cabaran menunaikan solat Subuh selama 40 hari di masjid yang menawarkan habuan 20 buah basikal kepada yang berjaya melakukannya.

Program Subuh Istiqamah 40 Hari itu turut dianjurkan Masjid Nur As-Sa’aadah bermula 9 Februari sehingga 20 Mac ini.

Tambah Amzah, jenis motosikal yang akan ditawarkan adalah Modenas Kriss 110 bernilai RM4,000 sebuah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program itu akan dimulakan pada 1 Mac ini sehingga 9 April depan.

“Setakat ini kita dah terima lebih 30 penyertaan bagi keempat-empat kategori tersebut, golongan wanita juga tidak terkecuali, asalkan berusia 16 tahun ke atas dan mempunyai lesen motosikal.

“Peserta juga berpeluang meningkatkan peluang kemenangan dengan menunaikan solat fardu yang lain secara berjemaah atau pada program-program lain anjuran masjid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya