KUALA LUMPUR: Sistem politik yang buruk menjadi punca utama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, meskipun parti itu baru berusia enam bulan dalam dunia politik, beliau yakin rakyat Johor menjadikannya sebagai platform baharu memperjuang hak-hak rakyat.
“Kita melihat senario politik hari ini terlalu banyak memberi impak buruk terhadap negara dan politik itu sendiri. Pejuang tetap dengan prinsip tidak bersama dengan pemimpin yang terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa dan agama.
“Jadi saya yakin rakyat bersama dengan Pejuang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengakui terdapat banyak cabaran yang bakal ditempuh, Marzuki berkata, Pejuang yakin dengan kekuatan jentera yang ada.
“Kita dah jangkaan pertembungan empat penjuru ini akan berlaku dan ia adalah cabaran besar buat Pejuang yang merupakan parti baharu.
“Jika dibandingkan dengan parti yang terpalit dengan rasuah, Pejuang sudah pasti antara parti terbaik,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Marzuki tidak menafikan terdapat perbincangan sebelum ini dengan beberapa parti lain untuk bekerjasama termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), namun kerjasama tersebut tidak berlaku.
“Tidak jadi isu pun pada kita, kita dah bersedia untuk bergerak sendiri pada PRN kali ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu bertanding di 42 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara bersendirian menggunakan logo parti itu.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Pejuang tidak bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang termasuk Muda kerana enggan bersama dalam konsep khemah besar kerana terdapat perjanjian antara gabungan pembangkang dan kerajaan. – UTUSAN











