KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram di Mahkamah Tinggi di sini pagi ini terpaksa ditangguhkan salah seorang peguam wanita itu positif Covid-19.
Menurut surat yang dikeluarkan oleh firma guaman, Tetuan Geethan Ram ini menjadikan kesemua yang terlibat dalam prosiding sama semalam termasuk pihak pendakwaan telah menjadi kontak rapat kepada peguam positif Covid itu yang turut hadir pada pendengaran semalam.
Surat tersebut turut diemelkan kepada Mahkamah Tinggi dan sesalinan dokumen itu turut diterima media pagi ini.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamaed Zaini Mazlan sepatutnya mendengar permohonan Rosmah untuk menyingkirkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan elak bayar cukai yang dihadapinya.
Namun pihak pembelaan membangkitkan bantahan apabila mengetahui bahawa Sri Ram sendiri yang akan berhujah dalam permohonan tersebut dan mahkamah hari ini sepatutnya mendengar dengan terperinci hujahan berkenaan bantahan tersebut.
Selain permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram, Rosmah turut memfailkan dua lagi permohonan berkait dengan kes pengubahan wang haram dan elak bayar cukai itu.
Pada 12 Januari lalu, Rosmah turut memfailkan permohonan untuk menggugurkan seorang hakim Mahkamah Tinggi daripada mendengar perbicaraan kes di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.
Turut difailkan ialah permohonan agar kesemua prosiding dalam kes terlibat digantung sehingga rayuan berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini menolak permohonannya supaya beliau menarik diri, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 22 Disember 2021, Rosmah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dan kes ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.
Menurut Rosmah dalam afidavitnya, sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk menghalang Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram itu, maka perbicaraan terhadapnya akan hanya menjadi sia-sia. –UTUSAN











