PETALING JAYA: Sembilan termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang bermula 9 Februari hingga 15 Februari lalu.
Kesemua tangkapan berusia 24 hingga 38 tahun itu dilakukan di sekitar Sentul, Petaling Jaya dan Rawang dalam serbuan Op Lejang Wira yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi dua lelaki warga tempatan dengan menyasarkan kenderaan jenis Proton Wira.
Menurutnya, suspek bertindak mencuri kenderaan dan meleraikan komponen motokar tersebut untuk dijual kepada individu berminat dan pemilik kedai alat ganti kenderaan yang dikenali di sekitar kawasan Gombak.
“Selain itu, komponen seperti bateri kenderaan dijual di kedai barangan lusuh.
“Dalam serbuan itu, kita merampas empat kereta Proton Wira yang dilaporkan hilang bernilai RM 24,000. Turut dirampas, telefon bimbit pelbagai jenama, tiga batang anak kunci tertera tulisan Proton, dua keping kad Touch & Go, dua unit mesin smart tag dan peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Eng Lai, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.
Ujarnya, suspek utama adalah bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang baru sahaja selesai menjalani hukuman.
“Enam suspek utama dalam kes ini masih direman selama tujuh hari.
“Dua lagi suspek diberikan jaminan dan dijadikan saksi polis manakala seorang lagi suspek kes ini dituduh semalam di bawah Seksyen 29(1) AktaKesalahan Kecil 1955 di kesalahan gagal memberi keterangan,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan itu membantu polis Kuala Lumpur dalam menyelesaikan lima kes kecurian yang dilaporkan iaitu empat kes di kawasan Kuala Lumpur dan satu lagi di Selangor.
Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.
Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kecurian kenderaan diminta menyalurkannya dengan cara menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 atau boleh berhubung secara terus ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul di talian 03-40482222. – UTUSAN