SHAH ALAM: Umat Islam golongan yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM5,000 berpeluang mendapatkan rumah dengan bayaran sewa serendah RM500 menerusi inisiatif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Umat Islam yang mempunyai kriteria seperti berkeluarga dan mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 layak menyewa rumah milik MAIS. Menurut kenyataan MAIS, individu tersebut mestilah berkhidmat di negeri Selangor.
“Jika anda ada kriteria tersebut, anda layak untuk menyewa kediaman MAIS dengan sewaan serendah RM500 untuk pekerja sektor awam dan RM600 untuk sektor swasta.
“MAIS menawarkan sewaan kediaman di Wisma MAIS, Seksyen 3, Shah Alam berkeluasan 600 kaki persegi. Terdapat tiga bilik dengan dua bilik air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod sewa rumah di sekitar Shah Alam purata adalah RM1000 ke atas bagi rumah teres dan RM700 bagi rumah strata kos rendah. – UTUSAN