KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal menyaksikan pertandingan empat dan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), susulan pembubaran DUN yang diumumkan kelmarin.
PRN17 ini dijangka lebih sengit dengan 1,786 juta pengundi termasuk kira-kira 662,000 pengundi baharu berdasarkan daftar pemilih setakat Ogos 2025 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada September lalu, bakal menentukan kemenangan calon-calon yang bertanding.
Melihat pilihan raya negeri 2020 pun sudah banyak pertandingan tiga penjuru, tetapi kali ini mungkin lebih sengit.
“Saya boleh katakan 80 peratus atau sekitar 50 kerusi akan menyaksikan pertandingan lima penjuru,” katanya penganalisis politik, Dr. Mujibu Abd. Muis kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, perpecahan dalaman dalam GRS menjadi antara faktor utama yang dijangka memperbanyakkan saingan pelbagai penjuru, ditambah dengan kemunculan parti-parti baharu yang ingin menguji kekuatan masing-masing.
“Perpecahan dalam GRS menyebabkan lebih banyak parti akan bertanding. Parti seperti SAPP dan STAR kini bergerak sendiri tanpa pakatan rasmi, dan tidak mustahil kedua-duanya akan bertanding di kawasan sama terutamanya di kawasan bercampur etnik seperti Kadazan-Dusun-Murut (KDM) dan Cina,” katanya
Kelmarin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN17 dalam tempoh 60 hari.
Secara umum, PRN kali ini dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah negeri itu, dengan penyertaan pelbagai parti lama dan baharu yang ingin menonjolkan kekuatan masing-masing selepas landskap politik Sabah mengalami perubahan besar sejak 2020.
Setakat ini, Parti Warisan (Warisan) mengesahkan akan bertanding di kesemua 73 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) Sabah pula akan bertanding di 40 kerusi, dengan baki 33 kerusi diperuntukkan kepada Pakatan Harapan (PH).
Difahamkan, antara PH dan GRS, wujud perbincangan melibatkan tawaran sehingga 23 kerusi kepada PH, yang kemudiannya mencetuskan ketegangan apabila Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menolak agihan itu kerana dianggap bercanggah dengan sentimen akar umbi rakyat Sabah.
Keadaan itu seterusnya membawa kepada perpecahan GRS, apabila STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada gabungan berkenaan baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas pembubaran DUN, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pembubaran DUN Sabah telah lama dinanti rakyat Sabah kerana ia akan membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju negeri yang baharu.
“PN sudah bersedia sepenuhnya untuk bertanding dalam PRN Sabah. PN juga yakin rakyat Sabah sudah cukup matang dan bersedia untuk melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik dengan memilih kerajaan negeri baharu.
“Inilah masanya untuk rakyat Sabah bangkit bersama PN demi membina sebuah negeri yang cekap lagi bermaruah,” katanya.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman pula menyifatkan langkah itu sebagai permulaan bab baharu untuk rakyat Sabah menentukan masa depan mereka.
“Warisan sentiasa berpegang pada prinsip bahawa kuasa sebenar terletak di tangan rakyat, bukan ahli politik. Kami akan menghadapi pilihan raya ini dengan penuh rendah diri, keyakinan dan kepercayaan bahawa rakyat Sabah kini bersedia untuk perubahan sebenar, bukan sekadar janji kosong,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pembubaran DUN membuka ruang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang benar-benar mampu membela kepentingan mereka serta mengekalkan kestabilan politik negeri.
“Bagi kami di UMNO, kuasa sebenar sentiasa berada di tangan rakyat, bukan di tangan ahli politik. Kami akan menghadapi pilihan raya ini dengan penuh rendah diri, keyakinan, dan kepercayaan bahawa rakyat Sabah kini lebih matang dalam membuat pilihan,” katanya.
“Insya-Allah, kita berharap angin perubahan yang membawa kestabilan dan kemajuan akan bertiup di Sabah,” tambahnya. – UTUSAN










