PETALING JAYA: Adalah wajar kerajaan menilai semula gaji minimum bagi pekerja di negara ini secara berkala sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sekali.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, langkah tersebut boleh dibuat berdasarkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Menurut beliu, tindakan tersebut wajar disegerakan lebih-lebih lagi dalam situasi ketika ini yang menunjukkan keperluan mendesak bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup yang semakin semakin ketara.
“Pelaksanaan gaji minimum sering tergendala ketika perlu dilaksanakan walaupun terdapat keperluan mendesak. Masalah ini berlaku disebabkan ada tentangan daripada pihak majikan khasnya, yang melihat ia sebagai sesuatu yang membebankan mereka. Malah mereka akan mencari alasan dan helah untuk menundanya.
“Apa yang mendukacitakan, gaji minimum di Malaysia terlalu rendah dan agak tidak munasabah selepas sekian lama tidak pernah disemak balik kebanyakan majikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam berhubung perbelanjaan majikan di negara ini yang hanya sekitar 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Angka tersebut adalah yang terendah di rantau ini berbanding Singapura (40 peratus), Indonesia (84 peratus) dan Filipina (76 peratus). Peratusan tersebut turut menunjukkan rakyat negara ini tidak mempunyai kuasa beli sebalik lebih tinggi berhutang.
Sementara itu, Baharom berkata, alasan kenaikan gaji minimum punca inflasi sebagaimana digembar-gemburkan segelintir pihak juga helah semata-mata bagi memaksimumkan keuntungan pihak majikan.
“Inflasi akan berlaku, namun ia hanya bersifat sementara dan terkawal. Peningkatan kuasa membeli akan memberikan pulangan kepada majikan nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Halim Husin berkata, pihaknya mendapati gaji minimum setanding dengan kos sara hidup ketika ini adalah RM1,832 berdasarkan jumlah purata kebangsaan.
“Jangan ditunda perkara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Ia memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah (B40). Walaupun perkara ini akan memberi kesan kepada perniagaan, perlu difahami ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan permintaan untuk pelbagai barangan serta perkhidmatan.
“Jika dibandingkan sebelum ini, ekonomi agak terbantut dan tidak mampan disebabkan underconsumption dalam kalangan isi rumah disebabkan gaji rendah,” ujarnya. – UTUSAN











