JOHOR BAHRU: Johor Bahru bakal menjadi sebuah bandar raya hab pengangkutan awam dengan pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST).
Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, sistem perkhidmatan awam darat itu melengkapi jaringan perkhidmatan bas meliputi tiga bandar raya utama iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.
“Ketiga-tiga bandar raya ini digabungkan dengan sistem yang baik dan terkini dengan ketepatan masa perkhidmatan dan kawasan liputannya. Jenis bas yang diperkenal dalam SBST ini juga melibatkan bas mini, bas biasa dan bas elektrik, tentunya ini sesuatu yang setara dengan bandar raya Johor Bahru,” katanya semasa berucap merasmikan Program SBST yang turut dihadiri, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Hotel Renaissance, hari ini.
Sementara itu, Ka Siong memberitahu kerajaan memperuntukkan RM150 juta kepada Johor untuk melaksanan SBST selama tiga tahun dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan bas di negeri ini.
Menurut beliau, perkhidmatan itu memanfaatkan seramai 6.4 juta pengguna setahun sekali gus menjadikan penggunaan bas sebagai mod utama pilihan rakyat.
“Tahun pertama akan kita mulakan dengan peruntukan RM50 juta, tahun berikutnya RM50 juta, dan tahun ketiga RM50 juta lagi dengan jumlah keseluruhan RM150 juta.
“Program ini terbukti kerana telah dilaksana di ibu negara, Kangar, Ipoh, Seremban dan Kuala Terengganu untuk bantu rakyat dan merupakan satu sistem lebih dinamik untuk perkasa perkhidmatan awam darat khususnya bas,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan myBAS di negeri inimelibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian melibatkan laluan sepanjang 1,052 kilometer.
“Tambang perkhidmatan myBAS adalah berpatutan dan penumpang akan diberi pilihan untuk membuat pembayaran secara tunai atau tanpa tunai ketika,” ujarnya. – UTUSAN