KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Shahidan Izwan atau Iwang Ali, tetap meneruskan penggambaran meskipun muka terkena sabit rumput ketika menjalani penggambaran filem arahan Osman Ali, Telaga Suriram di Kangar, Perlis.
Jejaka tinggi lampai menerusi akaun Instagram miliknya berkata, tiada siapa yang bersalah dalam kejadian tersebut.
“Kemalangan di set Telaga Suriram, kenangan yang tak boleh dilupakan sabit rumput terbang ke muka.
“Tiada siapa yang salah, inilah adat semasa berlakon mesti ada perkara yang tak diingini berlaku.
“Doakan saya cepat sembuh dan tak sabar nak masuk set balik nak buat yang terbaik untuk naskhah berkenaan,” ujarnya.
Jelas pelakon drama Kalis Peluru dan Ghaib itu, dia sudah ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan tetapi enggan lukanya dijahit kerana tidak mahu meninggalkan parut.
“Sudah pergi klinik. Kalau diikutkan kena jahit tetapi saya tidak mahu sebab kesan parut nanti lama, susah nak hilang.
“Doktor cakap boleh tak jahit tapi sekadar digam sahaja. Sekarang ini cari bahan organik untuk sembuhkan luka dan parut tanpa jahitan.
“Namun selepas rawatan itu saya tetap mahu meneruskan penggambaran sebab tak mahu babak tergantung. Pihak produksi tak paksa tetapi saya yang mahu,” jelasnya.
Sebagai informasi, antara drama yang pernah dilakonkannya seperti 7 Hari Mencintaiku 2 dan Kanvas. Bagi telefilem pula, Iwang pernah tampil di dalam Tersimpang Ke Alam Bunian dan Sihir Pemisah.