SHAH ALAM: Hanya 30 unit rumah disediakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kadar sewa serendah RM500 di Seksyen 3, di sini.
Lantaran itu, MAIS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mendapat permohonan yang tinggi selepas tawaran itu dibuka dan diuar-uarkan menerusi media sosial serta akhbar sejak semalam.
“Bagaimanapun, permohonan beserta borang dan dokumen yang lengkap mengikut kriteria ditetapkan sahaja diproses.
“Kekosongan kediaman yang ditawarkan adalah sebanyak 30 unit sahaja sebagai satu inisiatif MAIS membantu pemulihan ekonomi masyarakat,” katanya.
Terdahulu Utusan Online melaporkan, umat Islam yang mempunyai kriteria seperti berkeluarga, mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 layak menyewa rumah milik MAIS. Menurut syarat ditetapkan MAIS, individu tersebut mestilah berkhidmat di negeri Selangor.
MAIS berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin menyebarkan informasi berkaitan sewaan rumah milik MAIS tersebut. – UTUSAN