BENTONG: Sepasukan anggota daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menemukan remaja, P. Pavitra, 15, yang dilaporkan hilang pada 10 Februari lalu di Kajang, Selangor hari ini.
Pelajar Sekolah Mnengah Kebangsaan (SMK) Ketari, di sini itu ditemukan di sebuah stesen bas bersama seorang lagi remaja yang berusia 17 tahun pada pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, sepasukan polis di sini bertindak segera pergi ke Kajang setelah menerima maklumat orang ramai.
“Ketika tiba di perhentian bas, kita terus memantau dan kemudiannya memeriksa dua remaja perempuan warga negara tempatan itu yang masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.
“Setelah membuat semakan kad pengenalan dua orang remaja itu, seorang daripadanya merupakan Pavitra iaitu remaja yang dilaporkan hilang pada 10 Februari lalu (khamis) lalu di SMK Ketari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, siasatan awal polis mendapati Pavitra melarikan diri dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing dan menuju ke rumah rakannya di Kajang serta menumpang di situ hampir enam hari.
“Remaja ini telah dibawa pulang ke sini dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan kesihatan.
“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dengan menyalurkan maklumat kepada polis sehingga terjumpa semula remaja berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian pada 10 Februari lalu, pukul 12.30 tengah hari, Pavitra dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan.
Hasil siasatan polis, mangsa merupakan pelajar SMK Ketari dipercayai tinggal bersama ibu saudaranya yang berusia 48 tahun hampir setahun lalu berikutan kedua ibu bapanya menetap di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Zaiham menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengambil berat dan peka setiap tindak-tanduk dan pergerakan anak masing-masing.
“Bagi para pelajar pula dinasihatkan selalu berkomunikasi dan berbincang dengan ibu bapa atau penjaga jika berdepan masalah dan elakkan daripada membuat keputusan yang salah sehingga menimbulkan kesulitan sendiri dan keluarga,” katanya.
Jelasnya, pelajar juga boleh berkongsi masalah serta berbincang dengan pegawai kanan atau anggota polis yang bertindak sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang diamanahkan di setiap sekolah rendah dan menengah di sini. – UTUSAN











