Rakyat Malaysia perlu segera keluar dari Ukraine - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia perlu segera keluar dari Ukraine

ASKAR pengawal sempadan ditempatkan di sepanjang sempadan dengan Rusia, kira-kira 40 kilometer dari bandar Kharkiv di Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Wisma Putra yang tidak mengarahkan rakyat Malaysia untuk keluar dari Ukraine sebaliknya terus memantau perkembangan konflik negara itu dengan Rusia menimbulkan seribu satu persoalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah undang-undang laut antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berpendapat, Malaysia seharusnya mengambil langkah awal dengan membawa keluar rakyat dari Ukraine sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

“Langkah terbaik untuk menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat di sana adalah dengan segera meninggalkan Ukraine. Keadaan di sana tak stabil dan kebarangkalian peperangan berlaku amatlah tinggi.

“Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura dah awal-awal menasihati dan menggesa rakyat mereka keluar. Kenapa kita masih berlengah? Segera keluar agar tidak berlaku sebarang komplikasi tidak diingini,” katanya.

Semalam, Wisma Putra mengesahkan bahawa mereka sedang memantau perkembangan semasa di Ukraine, terutamanya ke­selamatan 20 warga Malaysia yang berdaftar, termasuk dua pelajar, sembilan kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka bagi memastikan ke­selamatan serta memberikan bantuan konsular jika diperlukan.

Namun, kebanyakan negara lain termasuk negara-negara Asia seperti Jepun dan Singapura sudah menasihati rakyatnya keluar dari Ukraine kerana ancaman perang dengan Rusia.
Malah ada kedutaan yang berpindah ke bandar Lviv yang lebih selamat, tetapi kedutaan Malaysia terus kekal di ibu negara Ukraine, Kyiv.

Setakat ini, Rusia terus menambah tenteranya di sekitar sempadan Ukraine yang kini dikatakan mencecah 130,000 anggota.

Bagaimanapun, geostrategis Azmi Hassan berpandangan, Wisma Putra enggan bersikap terburu-buru dalam memin­dahkan rakyat keluar kerana tindakan itu melibatkan pendirian politik di peringkat antarabangsa.

“Masalahnya, tindakan negara AS, United Kingdom (UK) dan Singapura menasihati rak­yatnya keluar dari Ukraine tidak disenangi Presiden Ukraine, di mana ia menggambarkan Rusia akan menyerang Ukraine pada bila-bila masa sahaja.

“Saya faham pendirian Wisma Putra kerana Malaysia tidak mahu tersepit dalam permainan proksi antara AS, Nato dan Rusia,” katanya.

Katanya lagi, tindakan Wisma Putra menunjukkan bahawa Malaysia tidak mahu bermain politik dan tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak.

“Kita jangan terburu-buru dalam hal ini kerana ini adalah percaturan politik walaupun imminent (serangan Rusia ke atas Ukraine) itu nampak sangat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN