IPOH: Seramai 200 remaja wanita menerima bantuan kemiskinan haid di bawah program Pemberian Kit Asas Sanitasi Wanita Negeri Perak (PROKiS) di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, penerima terdiri daripada penduduk tiga lokaliti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar bandar raya ini iaitu Rumah Pangsa Jalan Hospital, Pangsapuri Seri Kepayang dan Rumah Pangsa Pasir Putih.
Menurutnya, program bantuan itu untuk membantu menyelesaikan elemen dalam kemiskinan haid.
“Ini disebabkan mereka kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitasi bagi menguruskan haid, kekurangan prasarana seperti akses kepada air yang bersih dan mencukupi, kekurangan pendidikan pengurusan haid dan kekurangan privasi dalam menguruskan haid,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut di sini hari ini.
Menurut Wan Norashikin, kerajaan negeri akan menempatkan mesin layan diri alat sanitasi yang menjual tuala wanita di tempat yang strategik dan terbuka.
Beliau berkata, ini kerana penjualan tuala wanita di tempat terbuka secara tidak langsung dapat membantu golongan wanita dalam keadaan kecemasan apabila didatangi haid.
“Mereka tidak perlu risau jika tidak membawa tuala wanita, mereka boleh membelinya di tempat yang disediakan.
“Kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meletakkan mesin layan diri alat sanitasi di taman rekreasi.
“Kita akan bincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk taman rekreasi dan Jabatan Pendidikan untuk meletakkan mesin ini di sekolah,” katanya.
Menurutnya, mesin layan diri alat sanitasi di tempat terbuka dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pengurusan haid terutamanya remaja.
Katanya, ini kerana kadang kala remaja yang baru didatangi haid tidak tahu menguruskan diri semasa proses haid.
“Jika ruang privasi atau kemudahan disediakan, mereka akan jadi lebih selasa dan mudah untuk menguruskan diri.
“Kadangkala ada yang tidak hadir ke sekolah kerana haid yang boleh menyebabkan keciciran pelajaran, jadi hal ini sebenarnya satu isu yang perlu dititikberatkan,” katanya.
Sementara itu, seorang remaja yang menerima bantuan PROKis, Nur Emily Anatasya Husna Mohd Fariszuan, 17, berkata, perbelanjaan sanitasi untuk dia dan ibunya agak membebankan.
“Setiap bulan perbelanjaan sanitasi untuk saya dan ibu lebih kurang RM30 sebulan.
“Ini agak membebankan, jadi, bila ada bantuan sebegini, dapat bantu mengurangkan beban kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










