894 borang penamaan calon dijual, PN paling banyak beli - Utusan Malaysia

894 borang penamaan calon dijual, PN paling banyak beli

PRN Johor, jumlah borang pencalonan dijual melonjak hari ini,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 894 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dijual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat semalam.

Mengikut statistik SPR Johor, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 222 borang penamaan calon yang terjual pada minggu pertama.

Perikatan Nasional (PN) membeli 295 borang penamaan calon diikuti Barisan Nasional (99), Parti Pejuang Tanah Air (86), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (52), PKR (49), MCA (49), DAP (42), Parti Amanah Negara (34) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (30).

Sebanyak 21 lagi borang turut dijual kepada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (20), Parti Warisan Sabah (5), Pakatan Harapan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), lain-lain parti (55) dan individu (53).

Sementara itu, Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan hari ini pula berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bermula 9 hingga 10 pagi di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) pada hari penamaan calon, Sabtu ini. 

Ikmalrudin menasihatkan mereka yang ingin bertanding untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang berkenaan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon.

“Bakal-bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran.

“Ini bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ikmalrudin turut mengingatkan calon yang mewakili mana-mana parti politik bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Beliau menegaskan hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.

Tambahnya, penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang aktiviti berkumpul dan berarak di mana-mana tempat atau PPC sepanjang hari penamaan calon.

“Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“SOP Khas Pilihan Raya ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya iaitu proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya