PRN Johor: 2.59 juta rakyat Johor mengundi 12 Mac - Utusan Malaysia

PRN Johor: 2.59 juta rakyat Johor mengundi 12 Mac

ABDUL Ghani Salleh (tengah) dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas SPR bagi PRN Johor di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu, 

Katanya, pelaksanaan PRN seperti termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Sehubungan itu, menurutnya, SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala hari mengundi awal pula adalah 8 Mac.

Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu.

Daftar tersebut, jelas beliau, mengandungi 2,597,742 pengundi terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis bersama pasangan serta 376 pengundi tidak hadir luar negara.

“Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara bermula hari ini. Bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 18 Februari.

“Bagi petugas media, pilihan raya, pegawai SPR, polis dan anggota tentera pula tarikh tutup mengundi pada 24 Februari,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Persada di sini hari ini.

Abdul Ghani menambah, permohonan pengundi pos dilaksanakan secara dalam talian melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.

“Bagi kelayakan pengundi pos kategori luar negara yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan antaranya ialah bermastautin di luar negara kecuali wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” ujarnya.

Abdul Ghani menambah, sebanyak 55 pusat penamaan calon (PPC) dan 56 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan, manakala 1,021 pusat mengundi biasa pula mengandungi 4,638 tempat mengundi (saluran) dan 64 pusat mengundi awal menggunakan 82 tempat mengundi.

“Semua 962 pusat mengundi biasa akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang dan baki 59 pusat dibuka mengikut waktu diwartakan, manakala 29 pusat mengundi awal pula dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang. Baki 26 pusat mengundi awal akan dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang.

“Seramai 49,290 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses PRN yang dianggarkan menelan belanja sebanyaj RM96 juta,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya