PRN Johor: KMJ mohon kelonggaran kepada pengamal media

PRN Johor: KMJ mohon kelonggaran kepada pengamal media

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kelab Media Johor (KMJ) memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan pihak berkuasa agar memberikan sedikit kelonggaran kepada para pengamal media untuk menjalankan tugas di lapangan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, pihaknya akan memastikan para pengamal media yang bertugas akan sentiasa mengamalkan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sehingga selesai PRN Johor.

“Kelab Media Johor mengambil maklum laporan mengatakan terdapat pengamal media yang telah dikompaun oleh pihak berkuasa kerana didakwa melanggar SOP yang ditetapkan.

“Sesungguhnya, sebagai warganegara, para pengamal media juga tidak lari daripada pematuhan kepada peraturan, perundangan dan SOP yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, KMJ berharap pihak berkuasa dapat menilai sewajarnya dan memberikan pertimbangan seadilnya dalam soal penguatkuasaan terhadap para pengamal media yang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, seorang wartawan daripada akhbar Sin Chew Daily dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar SOP apabila gagal memastikan penjarakan fizikal di majlis penanaman calon yang berlangsung di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru.

Wartawan berkenaan, Weng Kian Yong, 42, memberitahu, dia tidak menyedari kesalahan yang dilakukan kerana ketika itu hanya memberi tumpuan kepada tugas hakikinya.

“Saya hanya mendekatkan calon untuk mendapatkan maklumat peribadi mereka seperti nama, gambar dan nombor telefon.

“Saya tidak sangka pula apa yang dilakukan itu merupakan satu kesalahan kerana hanya saya seorang yang dikenakan kompaun sedangkan pada waktu itu terdapat beberapa wartawan lain melakukan perkara sama,” katanya yang sudah lebih 10 tahun menjadi wartawan.

Seorang lagi wartawan portal Malaysia Gazette, Khairulanuar Yahaya, 47, bagaimanapun hanya dikenakan amaran.

“Saya akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas,” jelasnya yang datang daripada Kuala Lumpur.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN