ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) didakwa sengaja mahu melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dengan tujuan untuk menang secara bersendirian di negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selepas matlamat itu dicapai, BN kemudian mahu mengadakan pula Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15) bagi mengambil kuasa untuk parti itu saja.
“Itulah tujuan sebenar BN buat PRN di Johor iaitu nak menang secara bersendirian. Kemudian mereka nak PRU diadakan pula untuk ambil kuasa ini buat BN saja.
“Saya tak berapa sukalah tindakan itu dan saya dah cakap di Johor sebelum ini. Tak mahulah ulang dah,” kata selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah serta melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Semalam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan keyakinan bahawa BN memiliki peluang cerah untuk meraih kemenangan pada PRU15 sekiranya Johor berjaya kembali kepada gabungan itu dalam PRN kali ini.
Titik perubahan
Menurut Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Johor dianggap sebagai satu titik perubahan kepada BN dan memberi petunjuk sama ada gabungan itu mampu memenangi PRU15 dengan bertanding secara sendirian.
Sementara itu, Muhammad Sanusi mengakui bahawa peluang untuk semua parti memenangi PRN Johor agak sukar diramal ketika rakyat dilihat sudah matang dalam membuat penilaian.
“Semua orang tahu apa yang berlaku berlaku dan rakyat kini berpeluang memilih kerajaan negeri, yang dirasakan mampu membawa Johor ke arah lebih maju.
“Kita serah kepada rakyat Johor untuk membuat pilihan terbaik berdasarkan ruang yang terhidang,” katanya.
Ditanya kekuatan calon Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Johor, Menteri Besar Kedah itu berkata, mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan memiliki ramai calon muda yang diketengahkan.
“Saya fikir ini trend yang sangat baik di mana kita memiliki keperluan untuk orang tua memberi pandangan, nasihat dan pedoman kepada orang muda dalam keadaan negara ini memerlukan lebih ramai orang muda bagi memimpin generasi sekarang dan generasi masa depan,” katanya.- UTUSAN