JOHOR BAHRU: Meskipun hanya 15 peratus daripada 20 calon PKR bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Wanita PKR yakin dapat menyumbang kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri.
Pemangku Pengarah Pilihanraya Wanita PKR Pusat, Rodziah Ismail berkata, sayap itu menawarkan tiga calon wanita yang tekun dalam aktiviti kemasyarakatan, menyantuni dan mengangkat isu rakyat pada PRN berkenaan.
“Ini bertepatan dengan pendekatan PKR dan PH kali ini untuk menampilkan calon berpotensi tinggi tanpa mengira usia atau jantina.
“Lebih manis lagi, ketiga-tiga calon wanita PKR ini anak Johor yang dikenali rakyat setelah sekian lama bergiat aktif di lapangan selain mengangkat dan menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rodziah berkata, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Napsiah Khamis Maharam bukan sekadar Ketua Wanita PKR Johor tetapi juga dikenali sebagai aktivis sosial dan kemasyarakatan yang banyak terlibat dengan pelbagai misi bantuan.
Katanya, Zulinah Johari calon DUN Tenggaroh pula seorang ahli perniagaan yang sibuk tetapi masih boleh memimpin persatuan dan masyarakat di kawasannya selama ini.
“Calon DUN Semarang, Haryati Abu Nasir tidak kurang hebat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pelbagai persatuan yang diseimbangkan dengan tugasan mencabar beliau sebagai pembantu kejuruteraan, suatu bidang yang selalunya didominasi oleh lelaki.
“Berdasarkan pengalaman dan prestasi mereka selama ini dalam semua bidang diceburi atau amanah diberi terutama sebagai pemimpin Wanita PKR di peringkat pusat, negeri dan cabang, kami yakin ketiga-tiga calon wanita ini mampu mencipta kejutan dan seterusnya memberi khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat,” katanya.
Tambah beliau, Wanita PKR juga bangga kerana parti memberi ruang untuk mengetengahkan calon-calon wanita yang benar-benar layak dan terbukti mampu memantapkan lagi gerakan wanita di setiap peringkat.- UTUSAN