Polis tahan lelaki menyamar anggota polis ugut peniaga

Polis tahan lelaki menyamar anggota polis ugut peniaga

SEORANG buruh ditahan polis di Kepala Batas, Pulau Pinang kerana menyamar sebagai anggota polis dan menakutkan seorang peniaga dengan menghantar rakaman gari menerusi media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tindakan seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis dengan menghantar rakaman video yang menunjukkan sepasang gari dengan niat menakutkan seorang lelaki mengundang padah apabila dia ditahan semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai buruh itu ditahan polis di Jalan Bertam 2, Kepala Batas, dekat sini kira-kira pukul 10 pagi. 

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video tersebut dengan niat untuk menakutkan mangsa yang bekerja sebagai peniaga. 

“Selain itu, suspek juga didapati meminta mangsa yang berusia 32 tahun supaya menghormatinya susulan masalah yang dihadapi antara mereka sebelum ini berkaitan isu rumah sewa. 

“Tangkapan ke atas suspek yang berusia 30-an yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas mangsa membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang semalam. 

Rahimi berkata, pihak polis turut merampas telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman dan sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (menyamar sebagai penjawat awam) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

“Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 (memiliki peralatan polis tanpa kebenaran) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya,” katanya. 

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai seorang penjawat awam kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan undang-undang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya