PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung satu hantaran dimuat naik dalam Facebook, Dr. P. Ramasamy yang bersifat provokatif berkaitan isu membabitkan kes anak Loh Siew Hong.
Hantaran bertajuk ‘Penukaran Agama Secara Unilateral di Perlis? Perasaan Situasi Yang Berulang Lagi’ itu yang dimuat naik pada 13 Februari lalu didakwa telah mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak dengan mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah unilateral, penculikan, manipulasi, ancaman dan paksaan berhubung isu tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya setakat ini menerima enam laporan berhubung isu tersebut.
Menurut beliau, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum; Seksyen 504 KK iaitu kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abd. Jalil mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Ujar beliau, PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
“Orang ramai digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam dan menggugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada individu yang sengaja menggugat keselamatan awam,” ujarnya.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.
Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari, wanita itu menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.
Siew Hong memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.- UTUSAN