PEKAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta syarikat telco untuk segera membina platform lebih tinggi bagi menempatkan peralatan elektronik dan kotak suis utama menara komunikasi di kawasan sering terjejas banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, ketika musibah banjir melanda negeri ini hujung tahun lalu sehingga awal tahun ini, sebanyak 571 menara telekomunikasi di seluruh negeri terjejas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 18 menara dikenal pasti ditenggelami banjir lebih tiga meter hingga kotak suis utama sumber tenaga dan peralatan elektrik pada menara tersebut mengalami kerosakan total.
“Jadi, dengan pembinaan platform ini nanti, semua peralatan elektronik dan kotak suis utama di 18 menara yang terlibat banjir itu tidak lagi ditenggelami air maka sistem komunikasi juga tidak akan terputus,” katanya di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin berkata, sistem komunikasi di kawasan yang dilanda banjir perlu konsisten agar penduduk terperangkap banjir dapat terus berhubung bagi mendapatkan bantuan.
“Semua usaha ini sedang dilaksanakan dan syarikat telco terlibat memberi jaminan usaha membina platform lebih tinggi dan dijangka siap selewat-lewatnya pada Oktober 2022 atau sebelum tibanya musim tengkujuh nanti,” katanya. – UTUSAN