permudah-sasaran-satu-keluarga-satu-rumah-pm

Permudah sasaran Satu Keluarga Satu Rumah – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bank Negara di­minta melihat kembali model pem­biayaan perumahan supa­ya memudahkan pemilikan pe­rumahan bagi memastikan ins­titusi kewangan mem­permudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.

Perdana Menteri, Datuk Se­ri Ismail Sabri Yaakob berkata, fo­kus diberi untuk pembelian terus dan sewa untuk milik.

Perkara itu dibincangkan me­nerusi Mesyuarat Majlis Peru­mahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Ia adalah satu platform bagi membincangkan dan me­nyelaras hala tuju pe­rancangan, penyelarasan serta pe­mantauan bagi penyediaan rumah mampu milik di seluruh negara.

Jelas Perdana Menteri, se­mua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.

“Untuk mencapai mat­la­­­mat ini, Kerajaan Per­se­­kutuan akan memberi sub­­sidi, kerajaan negeri me­nyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pem­biayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga berpatutan.

“Dalam masa sama, kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, me­syuarat berkenaan turut mem­beri tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 mem­beli rumah.

Beliau memberitahu, ke­bimbingan juga disuarakan ber­hubung kos bahan binaan se­perti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

“Justeru, Menteri Per­umahan dan Kerajaan Tem­patan dan Persatuan Pemaju Har­tanah dan Perumahan Ma­laysia (REHDA) diarah supaya menangani perkara ini.

“Jika ia berpunca daripada per­mit import (AP), mesyuarat men­cadangkan supaya ia dibu­ka kepada semua,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi me­menuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Kata beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tem­patan memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE).

Ia bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam pe­nyediaan perumahan, pem­biayaan serta program-pro­gram yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan.

Dalam pada itu, kata Perdana Menteri, hala tuju baharu PPR ditetapkan yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

“Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam dan reka bentuk yang lebih ekonomik serta lebih selesa.

“Selain itu, strategi pe­nyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara se­panjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut dibincangkan melibatkan Kera­jaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju pe­rumahan swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN