PETALING JAYA: Notis kesan individu yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bukan satu bentuk hukuman mahupun senarai individu dikehendaki.
Sebaliknya, SPRM memaklumkan, tindakan itu diambil susulan kegagalan individu terbabit mematuhi keperluan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 berkaitan pengisytiharan aset.
Menurut kenyataan SPRM, siasatan menerusi Ops Godfather dijalankan di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Jelasnya, siasatan bermula susulan pendedahan Pandora Papers pada 2021 yang mendedahkan kewujudan syarikat serta aset luar pesisir dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim, ahli keluarga dan sekutu perniagaan, sekali gus menjadi asas pembukaan kertas siasatan pada 2023.
“Sepanjang tempoh Jun hingga November 2023, SPRM telah menyerahkan beberapa notis pengisytiharan harta kepada Allahyarham Tun Daim, isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta anak-anak mereka dengan lima kali lanjutan masa diberikan bagi tujuan pematuhan.
“Bagaimanapun, hasil semakan mendapati masih terdapat kegagalan dan ketidakpatuhan dalam pengisytiharan beberapa aset seperti yang dikehendaki,” katanya.
Susulan itu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari 2024 manakala Allahyarham Tun Daim turut didakwa atas kesalahan sama pada 29 Januari 2024.
Menurut SPRM, perkembangan baharu siasatan antara 2025 hingga 2026 menyaksikan enam laporan baharu dibuka selepas menerima maklumat tambahan daripada agensi penguatkuasaan luar negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
Siasatan mendapati beberapa individu gagal mematuhi sepenuhnya notis pengisytiharan aset termasuk melibatkan aset bernilai tinggi serta akaun bank.
“Enam kertas siasatan telah dibuka terhadap Na’imah, Josephine Premla Sivaretnam serta empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009,” katanya.
Tambah kenyataan itu, notis menghadiri pemeriksaan telah dikeluarkan pada 13 Februari lalu namun sehingga 26 Februari, tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya.
“Berdasarkan maklumat terkini, tiga individu dipercayai berada di luar negara manakala seorang lagi berada dalam negara.
“Semua individu tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan,” jelasnya.
Sehubungan itu, SPRM menyeru kesemua individu terbabit supaya segera hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan serta mengelakkan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang. – UTUSAN











