PORT DICKSON: Beg mengandungi emas dilarikan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang menyamun seorang pemilik kedai emas dalam kejadian stesen minyak di Lukut, di sini, semalam dianggarkan bernilai RM500,000.
Ketua Polis Daerah, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, suspek yang menaiki dua buah kenderaan jenis Honda CRV dan Perodua Myvi melarikan satu daripada tiga beg emas milik mangsa manakala dua beg dijumpai semula.
“Nilai satu beg emas yang dibawa lari suspek itu dianggarkan RM500,000. Setakat ini, polis masih giat memburu lima suspek yang terlibat dalam kejadian samun itu dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Aidi Sham, berdasarkan siasatan awal , polis menolak penglibatan orang dalam melibatkan kejadian samun itu yang didakwa seolah-olah dirancang.
“Kumpulan suspek ini juga dipercayai bukan orang tempatan sebaliknya dari luar Port Dickson,” katanya.
Semalam Utusan Online melaporkan, dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, suspek yang menaiki dua buah kenderaan jenis Honda Crv dan Perodua Myvi melarikan satu daripada tiga buah beg emas milik mangsa manakala dua beg dijumpai semula.
Suspek menghalang dari arah hadapan dan belakang kereta milik mangsa semasa memberhentikan kenderaan di stesen minyak tersebut. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa menaiki kereta Toyota Camry manakala suspek menaiki kereta jenis Honda CRV dan Perodua Myvi.
Menurut Aidi Sham, suspek mengambil tiga beg berisi barang kemas, seunit telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.
Beliau berkata, semasa suspek melarikan diri, mangsa mengejar kenderaan suspek dan menghimpit salah sebuah kereta suspek hingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan.
“Mangsa kemudiannya telah berpatah balik namun suspek melarikan diri dan dua buah beg barang kemas yang dilarikan dijumpai semula di dalam kenderaan jenis Honda CRV bewarna hitam yang terbalik di hadapan deretan kedai tepi Jalan Lukut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian itu boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson (06-6462999) untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 394 kanun Keseksaan iaitu melakukan samun. – UTUSAN