PETALING JAYA : Tindakan seorang penghantar makanan menunggang motosikal secara melawan arus menyebabkan dia maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung, Bandar Utama di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam, mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15ZR sebelum bertembung dengan kereta Honda Accord.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 8.53 malam membabitkan kemalangan itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal menunggang secara lawan arus lalu bertembung dengan kereta terbabit.
“Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Fakhrudin, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.-UTUSAN










