BUKIT MERTAJAM: Meskipun akan kehilangan dua tonggak utama dalam dua perlawanan penting termasuk aksi pembuka tirai Liga Super menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat depan, pengurusan Penang FC akur dengan keputusan Lembaga Tatatertib FAM terhadap mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook rasmi mereka malam tadi, Penang FC berkata, mereka juga bersedia menanggung denda yang dikenakan ke atas kedua-dua pemain tersebut iaitu Endrick Dos Santos Parafita dan Anselmo Arruda Da Silva atau Casagrande.
“Dalam apa jua keadaan, hukuman penggantungan ini pada hakikatnya telah memberi impak besar dan menjejaskan persiapan pasukan, yang masih dalam proses menyemai tali keserasian dengan muka-muka baharu dalam pasukan, khususnya dua pemain import yang byyaru sahaja tiba untuk bersama pasukan.
“Ini adalah suatu tamparan besar dan cabaran yang berat untuk dipikul oleh pasukan dalam masa yang sudah kesuntukan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Tatatertib FAM, Datuk Che Mokhtar Che Ali berkata, Terengganu FC (TFC) II dan Penang FC masing-masing didenda sebanyak RM10,000 dan RM5,000 susulan insiden pergaduhan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 10 Februari lepas.
Pada masa sama, Penang FC berdukacita apabila kapten mereka, Endrick turut digantung selama dua minggu daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak bermula Khamis lalu hingga 9 Mac depan dan didenda RM1,000 manakala Casagrande pula digantung sebulan yang juga bermula Khamis lalu selain didenda RM3,000.
Kesalahan tersebut disabitkan di bawah Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 74, perenggan 2 dan perenggan 3 Kod Tatatertib FAM dan kedua-duanya juga telah diberi amaran agar tidak mengulangi kesalahan yang sama atau mungkin berdepan hukuman yang lebih berat selepas ini.
Dalam pada itu, Penang FC berharap para pemain lain mengambil iktibar daripada insiden berkenaan serta akibat yang boleh ditanggung oleh pasukan kerana sebarang tindak balas agresif yang diambil terutama dalam bentuk hukuman amat merugikan pasukan serta boleh mensia-siakan program latihan yang telah diatur selama ini.
“Moga-moga perkara ini menjadi pengajaran yang bermanfaat dan diterima dengan penuh rasa tanggungjawab. Dalam hal ini, pengurusan Penang FC juga percaya bahawa Lembaga Tatatertib FAM telah pun menjalankan tugas mereka dengan seadil-adilnya bagi faedah semua pihak,” ujarnya.
Selain ‘kempunan’ untuk beraksi pada aksi pembukaan Liga Super yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Endrick dan Casagrande juga pastinya tidak dapat diturunkan ketika Penang FC menjadi tuan rumah kepada Melaka United dalam perlawanan kedua di Stadium Bandaraya, empat hari selepas itu. UTUSAN










