PASIR PUTEH: Kerajaan Negeri Kelantan akan membantu meringankan beban ratusan pengusaha tanaman tembikai di daerah ini dan Bachok yang berdepan kerugian besar akibat banjir luar jangka yang berlaku selepas hujan lebat beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, sebelum itu, nilai kerugian mereka perlu diperakui oleh Jabatan Pertanian.
Kata beliau, pekebun yang terjejas juga perlu membuat laporan polis dan merakam gambar kerosakan atau lokasi digenangi air sebagai bukti.
“Kita ambil maklum masalah petani di jelapang tembikai di Bachok dan Pasir Puteh yang sebelum ini berdepan dengan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19, hari ini diuji pula dengan fenomena cuaca luar jangkaan.
“Kerajaan negeri dan Persekutuan memang mempunyai peruntukan khas untuk membantu petani yang terkesan dalam kes melibatkan bencana alam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, media melaporkan para petani di dua daerah ini berdepan kerugian sehingga mencecah setengah juta ringgit apabila beratus hektar tanaman tembikai diusahakan mereka digenangi air banjir kilat sejak tiga hari lalu.
Mengulas lanjut, Tuan Mohd. Saripudin berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci Jabatan Pertanian sebelum mengambil tindakan susulan.
“Saya akan turun padang melihat sendiri perkara ini dan kita akan bantu sebaik mungkin. Apa yang berlaku ini bukan kehendak kita, sebaliknya adalah fenomena cuaca luar jangka. Insya-Allah akan ada bantuan susulan.
“Diharapkan semua petani yang terlibat dapat menyediakan maklumat lengkap bagi memudahkan lagi urusan bantuan nanti. Saya nasihatkan mereka supaya hadapi dugaan ini dengan tabah,” katanya. – UTUSAN