fbpx

Pekebun rugi setengah juta tembikai digenangi banjir kilat

SAFIAH Mansor memetik  tembikai yang digenangi air di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG

BACHOK: Beratus pekebun tembikai di sekitar daerah ini dan Pasir Puteh berdepan kerugian mencecah RM500,000 apabila kebun mereka dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Difahamkan, sebahagian kecil tembikai terpaksa dituai lebih awal walaupun belum matang manakala sebahagian besar lagi pokok yang sedang berbunga dan berputik rosak akibat digenangi air banjir.

Petani dari Kampung Dalam Ru, Mohd. Nawi Dullah, 60, berkata, kesemua 1.2 hektar tanaman tembikai diusahakannya yang sedang berbunga mati begitu sahaja akibat ditenggelami air banjir.

“Ketika ini, kami baru selesai melakukan pendebungaan bagi membolehkan pokok berbuah, namun hujan luar biasa lebat dan tidak dijangka pula. Musim ini kami terpaksa menanggung kerugian besar. Penat lelah semua tidak berbaloi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

PEKEBUN terpaksa memungut tembikai sebelum jadual di Kampung Amir, Bachok. – UTUSAN/TOREK SULONG

Sementara itu di Kampung Kandis dan Kampung Amir di sini, para petani berusaha memungut saki-baki buah yang ‘terselamat’ dengan sebahagian besar buah yang rosak terpaksa dibuang begitu sahaja. 

Safiah Mansor, 62, berkata, modal sebanyak RM15,000 hangus sia-sia kerana tidak sempat menuai buah tembikai yang sepatutnya matang dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kebun seluas lebih dua hektar macam kolam apabila digenangi air sedalam 0.3 meter. Usaha untuk mengalirkan air keluar dari kebun juga gagal. Kalau musim lepas, saya boleh menjana pendapatan hampir RM50,000, tahun ini saya terpaksa berputih mata,” katanya.

Sementara itu, Azmi Yacob, 62, bersama lima anaknya yang mengusahakan lebih 14 hektar tembilai pula terpaksa menuai buah lebih awal sebelum menjualnya secara dengan harga yang paling murah.

“Tidak ramai pemborong sanggup membelinya kerana khuatir buah itu tidak akan tahan lama untuk dijual secara runcit,” katanya.

Seorang lagi pekebun, Zakaria Mohd. Rohni, 65, berkata, dia terpaksa turun ke laut untuk mencari sumber pendapatan lain sebagai nelayan, gara-gara tanaman tembikainya musnah tanpa sempat dituai. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN