Pemuda hidap talasemia sejak usia 2 tahun perlu buang limpa - Utusan Malaysia

Pemuda hidap talasemia sejak usia 2 tahun perlu buang limpa

ABDUL Fathin Talib (dua dari kanan) menerima kunjungan Presiden Ikatan Anak Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim (kiri) untuk bertanya khabar dan membantu urusan pembedahan limpa yang akan dijalaninya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Batu, Mersing. - MINGGUAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang pemuda di Kampung Pengkalan Batu di sini, yang merupakan penghidap penyakit talasemia, kini tidak mampu lagi bekerja selepas kesihatannya semakin merosot.

Abdul Fathin Talib, 23, yang sebelum ini bekerja sebagai penghantar makanan turut menyara ibunya.

Katanya, sejak kakinya membengkak kesan daripada penyakit itu, dia tidak dapat berjalan sekali gus tidak boleh bekerja sejak enam bulan lalu.

“Tapi kaki saya semakin sembuh dan sudah boleh berjalan. Cuma saya sekarang tunggu nak menjalani pembedahan limpa pula. Ini kerana akibat darah yang tidak cukup setiap masa menyebabkan limpa saya membengkak.

“Apabila buang limpa mungkin akan ada penjarakan masa masuk darah ke dalam badan. Jika sekarang dua minggu sekali, kalau buang limpa itu mungkin akan jarak dalam sebulan atau dua bulan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia semalam.

Kata anak ke-12 daripada 13 beradik itu, dia telah menghidap talasemia sejak berusia dua tahun setelah kerap demam sehingga terpaksa menjalani transfusi darah ke badannya setiap bulan.

“Saya kini perlu mendapatkan rawatan di Hospital Mersing setiap minggu. Dua minggu sekali kena transfusi darah sebanyak dua beg. Jika saya tidak jalani rawatan itu, badan akan jadi lemah dan demam yang dikhabarkan boleh membawa maut,” katanya.

Abdul Fathin berkata, apa yang membimbangkan dia sekeluarga kini adalah kos sepanjang rawatan bagi pembedahan limpanya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Dia yang menerima bantuan RM500 sebulan daripada Baitulmal berkata, biarpun kos pembedahan ditanggung oleh kerajaan tetapi dia rungsing memikirkan duit tambang pergi balik dan perbelanjaan lain sepanjang proses itu.

“Kami tidak dapat anggarkan berapa keperluan tetapi sekarang ini semua benda mahal jadi kalau ada yang ikhlas hendak bantu amat kami alu-alukan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun BSN milik Abdul Fathin, 0111329000212775. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN