PETALING JAYA: Cadangan pemberian khas berdasarkan peratusan hasil negeri tidak boleh terpakai terhadap Sabah sebaliknya ia mesti ditentukan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, cadangan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg boleh dilaksanakan di negeri tersebut dengan perbincangan dan rundingan sebagai satu formula antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun katanya, bagi Sabah, isu tersebut bukan mengenai memperkenalkan formula baharu.
“Ia sudah dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan berkait dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Kenyataan itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober lalu mengenai tuntutan Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan dari negeri itu.
Salleh berkata, pemberian khas itu bukan mengenai meminta peruntukan tambahan atau layanan istimewa namun ia mengenai hak yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.
“Hak kewangan Sabah mesti dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan perjanjian asal, bukan tertakluk kepada pertimbangan politik yang berubah-ubah.
“Jika terdapat tafsiran berbeza atau isu pelaksanaan, penjelasan yang jelas dan telus perlu diberikan kepada rakyat Sabah. Akhirnya, terpulang kepada rakyat Sabah untuk menilai dan memutuskan sama ada mahu menerima penjelasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, keputusan mahkamah berkaitan perkara itu telah pun diputuskan dan harus dihormati serta dilaksanakan sepenuhnya.
“Kesimpulannya, bagi Sarawak, ia boleh dilihat sebagai rundingan satu formula. Bagi Sabah, ia adalah soal melaksanakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Sebelum ini, Abang Johari mencadangkan supaya jumlah pemberian khas yang diperuntukkan kepada negeri itu di bawah Perlembagaan Persekutuan ditentukan berdasarkan peratusan hasilnya.
Beliau berkata menerusi formula yang dicadangkan itu pemberian khas akan berpandukan jumlah pendapatan negeri, khususnya berasaskan kutipan cukai, selain bersifat fleksibel mengikut prestasi hasil semasa. – UTUSAN










