DUNGUN: Seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Dungun, berhampiran Kampung Rajawali di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Ahmad Solihin Ishak, 22, dikatakan ke lokasi itu bersendirian selepas memaklumkan kepada ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, keluarga bagaimanapun bimbang selepas mangsa tidak pulang hingga malam lalu bertindak membuat laporan polis.
“Keluarga turut mencari mangsa di sekitar sungai, namun gagal ditemukan, dan mereka kemudian membuat laporan polis pada pukul 8 malam.
“Menurut seorang saksi, mangsa dilihat mandi di kawasan beting pasir Sungai Dungun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Baharudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sepanjang 200 meter pesisir sungai itu. Ia melibatkan kekuatan 35 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN