PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk melantik rakan sejawat mereka dari Russia, Vladimir Putin sebagai perantara dalam krisis antara Israel dan Iran atas alasan Moscow tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memainkan peranan sedemikian.
Bercakap dalam satu sidang media semasa lawatan ke Greenland pada Ahad, Macron berkata, Russia tidak layak menjadi orang tengah kerana terlibat dalam konflik besar dan telah lama mengabaikan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Saya tidak percayaRussia yang kini sedang terlibat dalam konflik berintensiti tinggi dan memilih untuk tidak menghormati Piagam PBB selama beberapa tahun boleh menjadi perantara,” katanya.
Kenyataan Macron itu dibuat susulan temu bual Trump bersama ABC News yang menyatakan keterbukaannya untuk membenarkan Putin menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Israel dan Iran meskipun Russia masih mengekalkan pendudukan ke atas Ukraine dan menolak usaha gencatan senjata oleh AS.
Macron turut menegaskan, Perancis tidak terlibat dalam sebarang serangan oleh Israel terhadap Iran.
Lawatan Macron ke Greenland, wilayah autonomi Denmark yang pernah menjadi sasaran pengambilalihan oleh Trump dilakukan sebelum beliau menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G7 di Kanada.
Dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dan Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, Macron memberi amaran Greenland kini berdepan ancaman sifat ‘tamak haloba’ yang menurutnya harus menjadi amaran kepada seluruh Eropah.
“Greenland bukan untuk dijual dan bukan untuk dirampas,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan sudah berbual dengan Trump sebelum lawatannya dan akan berbincang lebih lanjut mengenai isu Greenland semasa pertemuan G7 nanti.
Namun begitu, Macron menzahirkan keyakinan AS tidak akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Greenland.
“Saya tidak percaya bahawa AS sebagai sekutu dan sahabat akan bertindak agresif terhadap sekutu lain,” katanya sambil menambah beliau yakin AS kekal komited dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pakatan bersejarah mereka.
Trump sebelum ini menyatakan minat untuk mengambil alih Greenland, sebuah pulau Artik yang kaya dengan sumber mineral serta kedudukan strategik dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan.










