PORT DICKSON: Seorang pemilik kedai emas disamun empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Lukut, dekat sini, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, anggota pertanyaan Balai Polis Lukut pada awalnya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita berhubung seorang lelaki disamun empat lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi di stesen minyak tersebut.
“Mangsa yang merupakan pemilik kedai emas di pekan Port Dickson berumur 50 tahun memberitahu semasa berhenti di stesen minyak Shell menghala ke Lukut, dia diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang dan menaiki dua buah kenderaan.
“Suspek menghalang dari arah hadapan dan belakang kereta milik mangsa semasa sedang memberhentikan kenderaan di pam stesen minyak tersebut. Suspek mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, seunit telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.
“Semasa suspek melarikan diri, mangsa mengejar kenderaan suspek dan menghimpit salah sebuah kereta suspek hingga menyebabkan kenderaan suspek hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham menambah, mangsa kemudian berpatah balik namun suspek telah melarikan diri.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat terkena senjata parang. Dua beg barang kemas yang dilarikan dijumpai semula di dalam kenderaan jenis Honda CRV warna hitam yang terbalik di hadapan deretan kedai di tepi jalan Lukut,” katanya lagi.
Menurutnya, siasatan lanjut polis terhadap kenderaan suspek juga menemukan dua bilah parang dan satu walkie-talkie yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menyamun mangsa.
“Hasil semakan ke atas nombor chasis kenderaan jenis Honda CRV tersebut mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang dan disamun pada 25 November tahun lalu di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
“Dalam kejadian ini, suspek mengalami kecederaan namun meloloskan diri. Usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.
Sehubungan itu, kata Aidi Sham, polis meminta orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini untuk menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline IPD Port Dickson (06-6462999) dalam membantu pihak polis menjalankan siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat. – UTUSAN