KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan hari ini menutup kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony selepas tiga saksi dipanggil memberi keterangan.
Peter, 50, didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Peguam S. Devanandan mewakili Peter memberitahu demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi selepas saksi terakhir yang dipanggil pihaknya selesai memberikan keterangan.
Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 21 Mac dan menetapkan hujan lisan pada 31 Mac.
Sebelum ini, Peter dipanggil membela diri atas tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Peter didakwa melakukan pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.
Dia didakwa dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.
Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.- UTUSAN










