KUCHING: Bilangan dan nilai pelaburan pelabur asing dari pelbagai negara di Sarawak semakin berkembang dan ramai yang menunjukkan menunjukkan minat untuk terus melabur atau mengembangkan pelaburan sedia ada mereka di negeri ini.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini berlaku disebabkan Kerajaan Negeri Sarawak boleh memberikan persekitaran pelaburan yang selamat dan kondusif untuk melabur atau melabur semula.
“Terdapat peningkatan pelaburan semula di Zon Perindustrian Berteknologi Tinggi Samajaya, cadangan untuk pengeluaran hidrogen dan aktiviti gas hiliran di Tanjong Kidurong, Bintulu dan Shell telah memberikan komitmen untuk memindahkan ibu pejabat mereka ke Miri,” katanya
Beliau menyatakan demikian dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sarawak Ke-3 (CMIEA) 2021 di sini malam tadi.
Ujarnya, pencapaian tersebut adalah petanda bahawa wujudnya kepercayaan terhadap keupayaan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan di negeri ini.
Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus mempelbagaikan ekonominya dengan tumpuan khusus kepada pemodenan pertanian, pengukuhan infrastruktur, memajukan pelancongan dan mempercepatkan pembangunan modal insan seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS 2030).
“Saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) akan terus mengekalkan komitmennya untuk mencipta iklim yang ideal untuk pelaburan melalui dasar dan inisiatif mesra perniagaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing,” katanya.
Katanya, kawasan pedalaman negeri ini masih kurang membangun, justeru kerajaan akan mempercepatkan transformasi luar bandar dengan pelaksanaan pelbagai kerja infrastruktur utama seperti jalan raya dan jambatan, kemudahan asas dan kemudahan awam sebagai kunci untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan merangsang permintaan.
“Ini bukan cakap kosong kerana tugas menghubungkan kawasan luar bandar dengan infrastruktur jalan raya yang baik dan kemudahan asas lain diletakkan di bahu Recoda (Regional Corridor Development Authority) yang peranannya telah diperluaskan merangkumi pembangunan di Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA dan Highlands Development Authority (HDA) dengan peruntukan keseluruhan RM4. 5 bilion,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan Sarawak juga telah memperluaskan asas hasilnya melalui apa yang dipanggil “kejuruteraan semula hasil” supaya negeri ini boleh mempunyai fleksibiliti fiskal dalam mengurus sumber kewangannya dan dalam menyusun strategi agenda pembangunannya.
Ini kata beliau akan membolehkan negeri ini melaksanakan projek infrastruktur dan kemudahan asas di seluruh negeri dengan cepat dan pada masa yang sama membina rizab yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Strategi-strategi ini adalah penting dalam memenuhi objektif untuk mempercepatkan pembangunan negeri ini bagi memastikan pembangunan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata negeri tersebut akan mempergiatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dan berjiwa rakyat selaras dengan agenda pembangunannya.
Katanya, lebih banyak kawasan akan dibuka untuk aktiviti ekonomi produktif yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
Beliau yakin semua usaha berkenaan akhirnya akan meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya masyarakat luar bandar.
Walaupun kerajaan memperkenalkan banyak inisiatif untuk menerajui hala tuju baharu ekonomi, tetapi kata beliau sektor swasta juga mesti terlibat sepenuhnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata, kunci untuk merealisasikan Sarawak sebagai sebuah ekonomi maju menjelang 2030 ialah penglibatan peniaga untuk melabur dalam projek di negeri ini. –UTUSAN










