Padah judi 'pai gow' dalam kebun sawit - Utusan Malaysia

Padah judi ‘pai gow’ dalam kebun sawit

LIM Meng Seah (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai yang dirampas dalam Op Dadu di kebun sawit di Kampung Man Lok, Melaka, - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lapan lelaki dan seorang wanita diberkas ketika leka berjudi di kebun sawit di Kampung Man Lok, Kuala Sungai Baru, malam kelmarin. 

Dalam serbuan pada pukul 9.30 malam itu, turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM104,578 dipercayai hasil aktiviti judi ‘pai gow’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, hasil risikan kesemua suspek berusia antara 29 hingga 66 tahun itu berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada JSJ Kontinjen Melaka. 

“Sempena Op Tahun Baharu Cina dan Op Dadu, pasukan JSJ telah membuat serbuan di sebuah kebun sawit di Kampung Man Lok dan berjaya menahan sembilan individu yang leka berjudi.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kita turut merampas wang tunai sebanyak RM104,578,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini. 

Tambahnya, kegiatan itu dianjurkan seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan pengusaha kebun tersebut, manakala penaruh yang terlibat merupakan kenalan komuniti di situ. 

“Hasil soal siasat suspek mengakui telah menganjurkan kegiatan itu sejak seminggu lalu dengan hasil wang taruhan lebih RM100,000 sehari. 

“Setiap peserta akan meletakkan wang taruhan minimum RM2,000 sehingga lebih RM30,000,” katanya. 

Ujarnya, aktiviti tersebut dilakukan bermula pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam dengan bekalan elektrik turut dicuri suspek dari sebuah tokong berhampiran. 

Mengulas lanjut mengenai Op Dadu, beliau memberitahu, sepanjang operasi bermula 25 Januari lalu sehingga hari ini, seramai 17 individu berusia 25 hingga 67 tahun telah ditahan. 

“Rampasan keseluruhan wang tunai adalah sebanyak RM108,610 dan sembilan suspek yang diberkas kelmarin direman sehingga Khamis ini. 

“Kesemua individu terlibat disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya