LUNDU: Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan empat warga tempatan yang dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pekerja ladang di sini menerusi Op Benteng yang dijalankan pagi tadi.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, pasukan keselamatan turut merampas dadah jenis methamphetamine daripada empat lelaki terbabit.
Katanya, tangkapan empat individu warga tempatan bersama dadah jenis syabu (Methamphetamine) itu dibuat jam 6.50 pagi ini di Sektor Pos Imbangan Ladang Dafa iaitu 200 meter dari sempadan Indonesia – Malaysia.
“Anggota yang sedang melaksanakan penugasan Serkap bersama satu seksyen telah mengesan kehadiran sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan dari arah sempadan Malaysia-Indonesia dan hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 42 tahun itu membawa bersama mereka dua paket kecil disyaki dadah jenis syabu bersama barangan menghisap dadah.
“Siasatan lanjut turut mendapati individu terbabit turut menjual dadah kepada warga negara Indonesia dan pekerja ladang,” kata kenyataan itu.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM70,300 melibatkan dua peket kecil syabu dan kenderaan pacuam empat roda.
Keempat-empat lelaki terbabit bersama barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan selanjutnya.
Menurut kenyataan itu lagi, pasukan keselamatan akan terus siap siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara, terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19. UTUSAN










