Nelayan Vietnam sembunyi di bilik enjin elak ditahan Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

Nelayan Vietnam sembunyi di bilik enjin elak ditahan Maritim Malaysia

SEBAHAGIAN nelayan asing warga Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia kerana menceroboh dan menangkap ikan secara tidak sah di perairan negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Tindakan tiga nelayan Vietnam bersembunyi di bilik enjin sambil membiarkan bot hanyut tanpa kawalan gagal mengaburi mata pihak berkuasa yang bertindak memintas mereka di perairan negeri ini semalam.

Ketiga-tiga mereka ditahan kerana menceroboh perairan negara ini oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di lokasi 97.8 kilometer dari Kuala Tok Bali pada pukul 6.35 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, terdahulu pada pukul 6.10 petang hari sama, pihaknya turut menahan sebuah lagi bot nelayan Vietnam di lokasi 95.7 kilometer dari Kuala Tok Bali.

“Bot pertama dinaiki 11 awak-awak dan seorang tekong berjaya ditahan pada pukul 6.10 petang manakala bot kedua ditahan dalam tempoh 25 minit kemudiannya oleh Maritim Malaysia melalui Op Naga Barat dan Op Naga Laut.

“Ketika bot kedua ditahan, dua awak-awak dan seorang tekong ditemukan sedang bersembunyi di bilik enjin dengan membiarkan bot mereka bergerak tanpa kawalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua 15 nelayan asing itu yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 65 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu katanya, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Hasil rampasan membabitkan dua bot bersama 300 kilogram ikan, 50 kilogram sotong kering, 6,000 liter bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta dirampas.

“Kesemua hasil rampasan dan nelayan asing dibawa ke Jeti Maritim Kelantan untuk disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana menangkap ikan tanpa kebenaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN