Misi bantuan Malaysia selamat tiba di Kabul

Misi bantuan Malaysia selamat tiba di Kabul

WAKIL Malaysia disambut sukarelawan NGO Afghanistan sejurus pesawat misi bantuan tiba di Kabul semalam. – IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah menempuh penerbangan lebih 10 jam, pesawat khas membawa lima tan metrik bantuan kemanusiaan dari Malaysia akhirnya tiba di Kabul, Afghanistan semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi hantaran dalam akaun sosial beliau mengesahkan pesawat persendirian Boeing 733 itu mendarat di ibu kota negara tersebut.

“Alhamdulillah, pasukan misi kemanusiaan Malaysia ke Afghanistan yang membawa barang keperluan asas  selamat tiba di Kabul,” tulis beliau yang dipetik Wisma Putra hari ini.

 Kelmarin, beliau melancarkan misi khusus itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor melibatkan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Penerbangan sewa khas ADF 498 itu mendapat kerjasama Golden Horses Digital Investment Bank serta Global Peace Mission (GPM) dan Buddha Light International Association (BLIA).

Bantuan yang dibawa tersebut meliputi pelbagai jenis pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung bayi serta barang keperluan asas lain untuk warga rentan Afghanistan sendiri. Pesawat kemudian dilaporkan selamat berlepas pada pukul 1.09 tengah hari Selasa dan transit di Hyderabad, India pada 2.37 petang waktu tempatan (5.07 petang waktu Malaysia).

 Ia bertolak pula ke Islamabad, Pakistan pada 4.15 petang waktu tempatan dan mendarat singgah di ibu negara Pakistan, Islamabad pukul 6.39 petang (9.39 malam waktu Malaysia).  Keesokannya, pesawat berkenaan berlepas pukul 10.03 pagi waktu tempatan (1.03 tengah hari waktu Malaysia) dan berjaya tiba selamat di Kabul kira-kira lebih satu jam kemudian.

“Barangan tersebut telah pun diserahkan kepada NGO Afghanistan antaranya Ehsas Welfare and Social Service Organisation dan Humanitarian Assistance Society,” tambah Saifuddin. 

Malaysia ujar beliau, turut mendapat kerjasama daripada dua lagi NGO di negara rantau Asia Tengah tersebut iaitu Afghan Welfare Society dan Just for Afghan Capacity and Knowledge. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN