PETALING JAYA: Kata orang, kalau kaki golf berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan, dia mesti bermain di Kelab Golf dan Desa Kelantan atau lebih sinonim Kelantan Golf & Country Club (KGCC). Ini kerana KGCC adalah satu-satunya kelab golf 18 lubang yang ada di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Terletak di Pengkalan Chepa berhampiran dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, KGCC menampilkan hamparan rumput Bermuda pada lapangannya yang rata dengan keunikan dan cabarannya yang tersendiri.

Jika pemain golf datang ke KGCC, first impressions (tanggapan awal) nampak mudah kerana lapangannya yang rata. Namun, jangan mudah terpedaya dengan rupa bentuknya yang rata itu kerana KGCC memiliki banyak perangkap terutamannya bunker (pasir) dan parit atau kolam.
Kedudukan sesetengah parit atau kolam yang melintangi fairway sering kali memerangkap bola pukulan pemain. Begitu juga dengan kedudukan bunker di hadapan atau belakang green, yang memerlukan kepakaran tinggi pemain untuk mengeluarkan bola kerana pasir bunkernya amat halus dan lembut.

Mungkin cabaran-cabaran seperti inilah yang menjadi tarikan kepada pemain-pemain golf untuk menguji kehandalan mereka. Malah KGCC ini juga pernah menjadi tuan rumah beberapa kejohanan seperti Kejohanan Terbuka Kelantan yang disertai pemain-pemain profesional negara antaranya Mohd. Shaaban Hussein, Airil Rizman Zahari, P. Gunasegaran, Khairuddin Yusof dan Rahizam Ramli.
Menurut Kapten KGCC, Shaari Ismail, KGCC sehingga kini terus menjadi pilihan pemain-pemain golf terutamanya yang datang dari luar Kelantan seperti Terengganu dan Kuala Lumpur.

Katanya, KGCC juga menawarkan pelbagai kemudahan termasuk bilik persalinan, kafe, driving range (lapang sasar) dan harga untuk 18 lubang juga amat berpatutan.
Mengulas mengenai lubang paling mencabar di KGCC, Shaari berkata, cabaran utama terletak pada lubang 18 par 4 yang turut menjadi ‘signature-hole’ dengan jarak 379 meter dengan kolam mengelilingi green.
Bagaimanapun, tambah Shaari, pada lubang 2 par 5 dengan jarak 470 meter, lubang 2 par 3 (137 meter) dan lubang 6 par 3 (129 meter) dianggap sebagai lubang yang sering membawa tuah dan pemain kerap berjaya melakukan pukulan selubang (hole in one).
Pada awal pembukaan KGCC ketika era penjajah sekitar tahun 1950-an, kelab ini dikenali sebagai ‘Union Club’ dan hanya mempunyai sembilan lubang sahaja. Ekoran sambutan menggalakkan daripada pemain-pemain golf, KGCC dijadikan 18 lubang beberapa tahun selepas itu.

Kini KGCC yang mempunyai keluasan 6,096.246 meter mempunyai kira-kira 2,000 keahlian termasuk 30 wanita dan turut mempunyai sebuah akademi golf yang dikenali Akademi Golf KGCC. Akademi ini kini giat melahirkan pelapis-pelapis yang bakal mengharumkan nama kelab tersebut.
Antara pemain yang pernah dilahirkan KGCC ialah Mohd. Nazri Mohd. Zin yang mula berstatus pemain golf profesional pada tahun 2007 dan Maisarah Saad yang kini tersenarai dalam Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) sebagai pemain amatur. – UTUSAN
Fakta KGCC
Nama: Kelab Golf dan Desa Kelantan (KGCC)
Telefon: 09-7482102 (Pejabat Utama KGCC)
09-7747474 (Padang Golf Pengkalan Chepa)
Jenis Keahlian
1. Ordinary Member (Ahli Biasa) = RM6,400.00
i) Kakitangan/Pesara kerajaan = RM3,750.00
2. Term Membership (Keahlian Tahunan) (2 Tahun + 3 Tahun) = RM3,800.00 + RM3,710.00 = RM7,510.00 (Total)
3. Pemindahan Keahlian (Ahli Biasa) = RM11,700.00 (Boleh Dipindah Milik)
Yuran (Green Fees)
Hari Biasa (Weekdays)
a) Tetamu Ahli (Member Guest) = RM60.00 (18 lubang + buggy)
b) Pelawat (Visitor) = RM80 (18 lubang + buggy)
Hari Minggu (Weekend)
a) Tetamu Ahli (Member Guest) = RM90.00 (18 lubang + buggy)
b) Pelawat (Visitor) = RM120 (18 lubang + buggy)
Kemudahan Lain
1. Kafe
2. Kolam Renang
3. Gelanggang Tennis
4. Gelanggar Squash
5. Karaoke
6. Bilik Mesyuarat
7. Surau
8. Kedai Peralatan Gof
9. Dewan
10. Driving Range