BENGALURU: Ketua Tentera Udara India, Amar Preet Singh pada Sabtu mendakwa India menembak jatuh lima jet pejuang Pakistan dan sebuah lagi pesawat tentera dalam pertempuran pada Mei lalu, kenyataan pertama seumpamanya sejak konflik berdarah dengan negara jirannya itu.
Pengumuman tersebut dibuat beberapa minggu selepas pihak tentera India mengakui bahawa sejumlah pesawatnya turut ditembak jatuh oleh Pakistan dalam pertempuran udara paling sengit antara kedua-dua negara dalam tempoh beberapa dekad. Pertempuran itu melibatkan jet pejuang dan peluru berpandu jelajah yang mengorbankan puluhan nyawa.
“Kami memiliki sekurang-kurangnya lima jet pejuang yang disahkan musnah dan sebuah pesawat besar,” kata Singh dalam satu syarahan ketenteraan di Bengaluru sambil menambah bahawa pesawat besar yang berkemungkinan pesawat pengawasan tersebut ditembak jatuh pada jarak 300 kilometer.
Beliau berkata, sistem pertahanan udara S-400 India telah memusnahkan sebahagian besar pesawat Pakistan dan merupakan rekod terbesar dalam sejarah bagi serangan udara-ke-darat yang dapat dilaporkan.
“Sistem pertahanan udara kita telah melaksanakan tugas dengan cemerlang,” katanya seperti dipetik media tempatan India.
Pakistan bagaimanapun menolak dakwaan itu, menuduh India tidak jujur dan menegaskan bahawa tiada satu pun pesawatnya dimusnahkan.
“Jika kebenaran menjadi persoalan, biarlah kedua-dua pihak membuka senarai inventori pesawat masing-masing untuk pengesahan bebas walaupun kami yakin ini akan mendedahkan realiti yang cuba disembunyikan India.
“Asas naratif yang lucu seperti ini direka untuk kepentingan politik domestik, hanya meningkatkan risiko salah perhitungan strategik dalam persekitaran bersenjata nuklear,” kata Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif dalam satu hantaran di media sosial.
Singh tidak mendedahkan jenis jet pejuang yang ditembak jatuh tetapi menyatakan bahawa serangan udara India turut mengenai sebuah lagi pesawat pengawasan serta beberapa jet F-16 yang berada di hangar di dua pangkalan udara di tenggara Pakistan.
Menurutnya, separuh hangar F-16 di Pangkalan Udara Shahbaz Jacobabad di wilayah Sindh musnah.
Pakistan, yang majoriti armadanya terdiri daripada jet buatan China dan F-16 buatan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menafikan bahawa India menembak jatuh mana-mana pesawatnya sepanjang pertempuran antara 7 hingga 10 Mei lalu.
Konflik tersebut tercetus selepas sekumpulan lelaki bersenjata membunuh 26 pelancong di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, pada 22 April.










