Menjelang Ramadan, telur berkurang 3 juta sehari - Utusan Malaysia

Menjelang Ramadan, telur berkurang 3 juta sehari

LEE YOON YEAU bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Bekalan telur ayam dijangka berkurangan sehingga tiga juta biji sehari menjelang Ramadan pada April depan. 

Perkara itu didedahkan Timbalan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau dalam satu sidang akhbar di Masjid Tanah di sini hari ini. 

GAMBAR HIASAN

Katanya, pengurangan sehingga 10 peratus itu berpunca daripada peningkatan kos termasuk pembelian dedak import yang tidak seimbang dengan harga pasaran sebiji telur di bawah kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

“Semua penternak ayam penelur sedang bergelut menyediakan bekalan diperlukan negara kerana kos dedak import naik mendadak dalam pasaran dunia. 

“Sekiranya kerajaan tidak melaksanakan subsidi iaitu menaikkan harga kepada 40 sehingga 42 sen sebiji, pengeluaran telur akan terus terjejas sehingga tiga juta biji sehari, termasuklah pada Ramadan depan,” katanya.

Pada 31 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, harga telur ayam semua gred kekal seperti harga SHMKM semasa.

Di bawah SHMKM, harga runcit sebiji telur ayam di Semenanjung adalah 44 sen (Gred A), 42 sen (Gred B) dan 40 sen (Gred C) manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan pula bergantung kepada kawasan.

Pelaksanaan kedua-dua harga itu berkuat kuasa bermula 5 Februari hingga 5 Jun 2022. 

Tambah Yoon Yeau, secara purata, negara memerlukan antara 30 hingga 31 juta biji telur sehari yang dikeluarkan oleh 1,500 penternak. 

Beliau berkata, kekurangan bekalan itu juga disebabkan jumlah ayam telur di ladang menurun kerana terpaksa dijual lebih awal bagi mengurangkan kos dedak. 

“Selain itu, kita juga telah mengurangkan kemasukan anak ayam sehingga 20 peratus. 

“Disebabkan itu, dalam tempoh beberapa bulan, kita boleh nampak trend kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran,” katanya. 

Jelasnya, 80 peratus daripada kos peneluran bergantung kepada harga dedak termasuk jagung dan kacang soya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN