KUANTAN: Seorang mekanik maut apabila kereta dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 di Tanah Putih di sini, pukul 11.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kereta yang terlibat jenis BMW terbabas ketika dipandu mangsa, Mohd. Khairol Aman Mohd. Nisam, berusia 32 tahun, dari Kampung Padang 1, di sini.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kenderaan dipandu mangsa telah hilang kawalan. Mangsa memandu dari arah Gambang dan menghala ke arah Bandar Kuantan namun kenderaan yang bergerak lurus itu tiba-tiba dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan masuk ke dalam parit.
“Akibat kemalangan, kereta dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk dan remuk pada keseluruhan bahagian badan kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, ketika kejadian keadaan jalan adalah rata dan lurus dengan sistem jalan satu hala tiga lorong serta mempunyai satu lorong susur.
Beliau berkata, keadaan cuaca juga baik dan permukaan jalan kering manakala tahap pencahayaan gelap waktu malam dengan pancaran lampu jalan.
“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan akan menjalani bedah siasat selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh.
“Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










