PETALING JAYA: Media Mulia Sdn. Bhd. hari ini melancarkan Relevan, portal maklumat yang menumpukan kepada empat bidang dalam usaha syarikat mengembangkan operasi serta menjadi antara syarikat media utama.
Portal Relevan hanya menumpukan kepada kandungan dalam empat bidang – pendidikan, kesihatan, kewangan dan kerjaya.
Semua bidang ini sangat penting terutama kepada rakyat negara ini selain terdapat jurang maklumat dalam semua bidang ini.
Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, pelancaran Relevan adalah usaha syarikat mengembangkan perniagaan menggunakan kepakaran yang tersedia.
“Kita mungkin gilakan bola sepak EPL. Kita mungkin habiskan masa berbincang mengenai politik. Kita juga terpesona mengenai dunia hiburan, muzik atau K-pop. Di sebalik semua itu pada akhirnya pendidikan, kesihatan, kewangan dan kerjaya menjadi perkara yang pokok dalam hidup ini.
“Kita mungkin hidup dalam dunia penuh maklumat tetapi keempat-empat bidang ini menjadi kebimbangan utama. Cara terbaik untuk kita bersedia ialah melengkapkan diri dengan ilmu,” katanya.
Beliau berkata, seperti namanya Relevan, ia akan memberikan maklumat paling signifikan berkaitan empat bidang itu dan mewujudkan masyarakat berpengetahuan.
Ketika ini, katanya, terdapat jurang terutama maklumat mengenai kesihatan, pendidikan dan kewangan peribadi.
“Jelas sebahagian masyarakat masih tercari-cari maklumat asas seperti pendidikan kewangan, menabung, kebebasan kewangan, penyakit dan kesihatan serta kerjaya,” katanya.
Ini dilihat dengan jumlah kes muflis, lebih enam juta dengan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kurang RM10,000, pengangguran, pemilihan kursus pendidikan yang tidak sesuai dan kurang pengetahuan mengenai penyakit serta penjagaan kesihatan.
Pelancaran Relevan juga penting dalam usaha Media Mulia mengembangkan perniagaan ketika maklumat menjadi aset utama terutama dalam era digital
Mohamad Azlan berkata, selepas pelancaran akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! pada 20 Julai 2020, Media Mulia telah memperkenalkan MMtv saluran multimedia, MMStudio perkhidmatan fotografi profesional dan tidak lama lagi MMArkib.
“Kejayaan dan masa depan Media Mulia bergantung kepada kepantasannya berubah mengikut tuntutan semasa dan masyarakat serta mencari peluang baru bagi meningkatkan pendapatan. Relevan adalah salah satu usaha mencapai matlamat itu,” katanya. – UTUSAN