REMBAU: Seorang tukang kebun maut apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dipercayai selepas terlanggar kerbau melintas dalam kejadian di Kilometer 2.6 Jalan Pedas-Kundur-Linggi, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.01 pagi itu, mangsa, Noor Azmi Mohd. Noor, 56, yang beralamat di Taman Chembong Jaya di sini disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun Sekolah Kebangsaan (SK) Pedas di sini.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Pedas menghala ke Kundur. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan akibat terlanggar binatang dipercayai kerbau lalu terbabas dan terjatuh ke tengah jalan .
“Akibat kemalangan, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala serta koyak di bahagian dada sebelah kiri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazri berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. –UTUSAN










