PETALING JAYA: Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM220.3 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK 2021), peningkatan ketara berbanding -RM1.2 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut MAHB, peningkatan ketara itu sebahagian besarnya disebabkan oleh disiplin kewangan dan kos operasi teras yang berkurang sebanyak 11.2 peratus RM172.3 juta pada TK 2021 ditambah dengan pengurangan sebanyak 26 peratus atau RM575.5 juta yang dicapai pada TK 2020.
“Pemulihan trafik udara Lapangan Terbang Sabiha Gokcen (ISG) di Turki turut mengurangkan kesan pandemik Covid-19 ke atas pendapatan Kumpulan.
“EBITDA untuk operasi Turki melaporkan peningkatan sebanyak 110.3 peratus kepada RM662.9 juta, manakala operasi di Malaysia dan Qatar masing-masing mencatatkan EBITDA -RM450.6 juta dan RM8.0 juta.
“Kumpulan turut melaporkan lebihan aliran tunai operasi sebanyak RM262.9 juta berbanding defisit RM67.2 juta pada TK 2020,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, walaupun terdapat penguncupan sebanyak 16.0 peratus berbanding tahun sebelumnya, Kumpulan optimis melihat prestasi penerbangan yang bertambah baik pada 2022.
Jelasnya, prestasi ISG tahun lepas sudah berada pada 71.5 peratus daripada paras sebelum pandemik Covid-19 pada TK 2019.
Syarikat penerbangan itu memberitahu, lapangan terbang berkenaan juga disenaraikan sebagai lapangan terbang keenam paling sibuk di Eropah tahun lepas untuk pergerakan penumpang oleh Majlis Lapangan Terbang Eropah.
Pergerakan trafik penumpang Kumpulan sebanyak 14.2 juta untuk suku akhir 2021 meningkat sebanyak 43.4 peratus berbanding suku sebelumnya termasuk untuk operasi di Malaysia di mana pergerakan trafik penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatannya meningkat 5.8 kali dalam tempoh yang sama.
“Pemulihan itu adalah hasil daripada kelonggaran sekatan perjalanan di Malaysia dan Turki seiring dengan kadar vaksinasi negara yang tinggi.
“Bagi Malaysia, permintaan daripada program Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) dengan Singapura dan perjalanan umrah dijangka akan mendorong peningkatan dalam pergerakan penumpang antarabangsa.
“Kumpulan menjangkakan untuk melihat hasil tambahan daripada pembangunan tanah baharu di KLIA Aeropolis dan Lapangan Terbang Subang yang akan melengkapkan pemulihan pendapatan aeronautik dan kemampanan inisiatif pembendungan kos,” katanya. – UTUSAN










