PETALING JAYA: Luruan angin monsun masih memasuki rantau negara dan sistem cuaca bertekanan rendah di Laut Cina Selatan dijangka memasuki Terengganu dan Pahang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, angin tersebut bergerak menuju ke arah Barat Laut dan merentasi Semenanjung Malaysia.
“Disebabkan ini, ia boleh menyebabkan keadaan cuaca agak lembab serta hujan berterusan di semenanjung Malaysia,” katanya.
METMalaysia mengemas kini amaran cuaca peringkat buruk melibatkan negeri-negeri pantai timur semenanjung manakala lain-lain kawasan, amaran masih lagi dikekalkan diperingkat waspada.
“Oleh itu bagi orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan, dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dengan keadaan cuaca dan kemungkinan banjir yang boleh berlaku,” jelasnya. – UTUSAN