Lima lelaki ditahan babit kes tetak di Benut

Lima lelaki ditahan babit kes tetak di Benut

DUA daripada lima lelaki bersama kenderaan Toyota Alphard yang berjaya ditahan polis berkaitan kes tetak di sebuah restoran di Bandar Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Polis berjaya menahan lima lelaki dalam tempoh 48 jam di tiga lokasi berasingan yang dipercayai terlibat dalam kes tetak melibatkan seorang mangsa di sebuah restoran di Bandar Benut, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, tangkapan pertama melibatkan dua suspek pada pukul 10 pagi semalam dilakukan di bandar Pontian bersama kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih.

Menurut beliau, hasil siasatan lanjut oleh polis membawa kepada penahanan dua lagi lelaki pada pukul 12.15 tengah malam tadi di Pekan Yong Peng, Batu Pahat .

“Selepas itu, seorang lagi lelaki ditahan di Benut pada pukul 6.30 pagi ini, menjadikan kesemua lima orang  terlibat dengan kejadian tersebut berjaya ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, seorang lelaki mengalami kecederaan parah di tangan kanan apabila ditetak di sebuah restoran di Bandar Pontian oleh dua lelaki yang menaiki kereta Toyota Alphard berwarna putih.

Bagaimanapun ketika pasukan polis sampai ke lokasi  kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital dan semakan nombor pendaftaran kenderaan mewah tersebut adalah palsu.

Sementara itu, Mohammad Shofee berkata, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun dengan dua daripadanya mempunyai  rekod kesalahan lampau.

“Turut dirampas tiga bilah pedang yang digunakan dalam kejadian tersebut dan mereka telah ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Jelas beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah  Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Katanya, polis turut menghargai bantuan orang awam serta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut sehingga suspek berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian dalam masa singkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya