ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dikehendaki polis berkait dengan kes dadah di Brickfield, Kuala Lumpur dicekup polis, di sini semalam.
Lelaki berusia 39 tahun yang juga memegang kad orang kurang upaya (OKU) fizikal itu ditahan sepasukan anggota trafik selepas melanggar lampu isyarat merah di Jalan Stadium Darul Aman, pada pukul 11.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tangkapan itu dilakukan ketika anggotanya melakukan rondaan cegah kemalangan dan penguatkuasaan di Jalan Stadium.
Kata beliau, anggotanya ternampak suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dan melanggar lampu merah sebelum mengejar lelaki itu.
“Sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dengan menyeberangi ke arah sebuah hotel namun tidak dapat mengawal motosikalnya lalu melanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia sebelum terjatuh.
“Suspek bertindak kasar dan enggan memberi kerjasama dengan polis ketika itu dan akhirnya ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang juga mempunyai lima rekod jenayah lampau itu ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
“Suspek dikehendaki polis kerana bersangkut kes di Brickfield, Kuala Lumpur mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan diserahkan ke Balai Polis Brickfield untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN